Siapa yang tidak kenal dengan “Sani Express”? Jalanraya di seluruh pelosok Negara dilusuri oleh bas dua tingkat berwarna merah dengan jenama Sani Express ini yang tampak elegan dan ekslusif. Tapi tahukah anda siapakah insan yang berada di sebalik kejayaan Sani Expres? Beliau tidak lain dan tidak bukan ialah DATUK SANI SALLEH.

Dilahirkan pada 24 Julai 1976 di Kuala Terengganu, Terengganu, pemilik nama penuh Wan Mohammad Sani Salleh ini merupakan anak keempat daripada enam beradik. Beliau melanjutkan palajaran dalam bidang Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Sunway pada tahun 1994. Selepas itu, beliau menceburi bidang hiburan sebagai seorang model dan juga penyanyi dengan menganggotai kumpulan “Impression” bersama dengan selebriti Eizlan Yusof dan Norman Hakim.
Selepas meninggalkan bidang glamor, beliau kemudiannya membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu. Pada tahun 2003 Datuk Sani mencuba perniagaan dalam bidang pengangkutan dengan membuka syarikat Sani United Sdn Bhd (SUSB). Berbekalkan pengalaman beliau yang sering menggunakan perkhidmatan bas ekspres ketika zaman persekolahannya, Datuk Sani bijak menyusun strategi untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat para penumpang syarikat bas ekspres miliknya.

Namun untuk mencapai kejayaan di dalam bidang perniagaan bukanlah sesuatu jalan yang mudah kerana pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa ditempuh oleh beliau apabila 2 rakan kongsinya menarik diri dari perniagaan yang diceburi mereka bersama memaksa beliau untuk terus berjuang seorang diri.
Dengan hanya mempunyai seorang pekerja, Datuk Sani menggunakan segala kudrat yang ada beserta akal fikirannya untuk membangunkan syarikat bas ekspres miliknya dan selepas 3 tahun bertungkus-lumus, akhirnya ia mendatangkan hasil. Bilangan bas yang dimiliki Sani Express juga bertambah kepada 25 buah dan kesemuanya adalah bas 2 tingkat yang menjaminkan keselesaan kepada para penumpang. Selain itu, bilangan pekerja juga bertambah sebanyak 150 orang dan Datuk Sani mempunyai wismanya yang tersendiri, terletak di Klang Sentral.


Kini, Datuk Sani Salleh boleh berbangga dengan hasil titik peluhnya selama ini. Di usia 39 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan banglo mewah bernilai RM 9 juta.
Beliau berkata, Sani United Sdn Bhd (SUSB) mahu mengumpul asset bernilai lebih RM1 billion dalam tempoh 4-5 tahun akan datang. Terkini, SUSB mempunyai 35 buah bas ekspres di bawah Sani Express Sdn. Bhd., sebuah hotel (Sani Hotel Sdn. Bhd.) dan sebuah syarikat kejuruteraan bas (Sani Engineering Sdn. Bhd.).


Selain itu, SUSB turut mempunyai sebuah syarikat hartanah (Sani Properties Sdn. Bhd.), infrastruktur (Sani Infrastructure), terminal bas (Sani Terminal Sdn. Bhd.), penyedia fasiliti (Sani Facilities Sdn. Bhd.), perladangan (Sani Plantation Sdn. Bhd.) dan perkhidmatan pengangkutan marin, Sani Marine Sdn. Bhd. (Sani Marine).
